JOHOR BAHRU: Selepas bertikam lidah berebutkan Parlimen Gelang Patah, kini Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertelagah lagi dengan sekutunya dalam pakatan pembangkang, DAP, berhubung kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya. 

Kedua-dua parti itu mengumumkan calon masing-masing bagi kerusi negeri Johor Jaya yang majoriti pengundinya adalah daripada kaum Cina. 
Bagi PKR Johor, calon mereka bagi kerusi negeri terbabit adalah Ketua Biro Guamannya, Jimmy Puah, manakala bagi DAP pula, calon pilihan mereka adalah Penolong Setiausaha Publisiti DAPSY, Liow Cai Tung, 27. 


"PKR Johor akan tetap mempertahankan haknya terhadap kerusi Johor Jaya memandangkan pada pilihan raya umum 2009 kerusi terbabit ditandingi oleh calon Parti Rakyat Malaysia," kata Puah di sini, hari ini. 

Pada PRU 2008, kerusi DUN Johor Jaya dimenangi calon Barisan Nasional (BN,) Tan Cher Puk yang mengalahkan calon PRM, Md Nasir Ab Wahab dengan kelebihan undi majoriti 10,488. Tan adalah Ketua MCA Bahagian Pasir Gudang. 

Menurut Puah, selain mempunyai hak terhadap kerusi Johor Jaya disebabkan ia bekas kerusi PRM, PKR Johor juga difahamkan kerusi negeri terbabit diserahkan kepadanya sebagai pertukaran terhadap "pemberian" Gelang Patah terhadap DAP. 

"Mengikut maklumat kami, pucuk pimpinan PR memberikan kerusi DUN Johor Jaya, DUN Tangkak dan Parlimen Segamat kepada PKR Johor sebagai pertukaran terhadap persetujuan kepada pencalonan DAP di Parlimen Gelang Patah," kata beliau. 
Ditanya jika terdapat kemungkinan pertandingan tiga penjuru di DUN Johor Jaya jika PKR dan DAP gagal mencapai persetujuan, beliau berkata PKR Johor tetap mempertahankan semangat pakatan pembangkang dan cuba mengelaknya daripada berlaku. 

"Kita akan menyokong mana-mana calon pakatan pembangkang yang dipilih, tetapi kita (PKR Johor) tetap mempertahankan pendirian bahawa kerusi negeri Johor Jaya adalah hak kita," katanya. 

Pencalonan Liow di Johor Jaya diumumkan Penasihat DAP Lim Kit Siang semalam, manakala pencalonan Puah pula diumumkan pucuk pimpinan PKR Negeri, Sabtu lalu. 

Selepas pertikaian terbuka di antara PKR dan DAP Johor, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Kit Siang akan bertanding di Parlimen Gelang Patah, kerusi yang ditandingi calon PKR pada pilihan raya umum 2008. 

- BERNAMA